11 Tips Beli Barang Dari Mudah.my Dengan Selamat

11 Tips Beli Barang Dari Mudah.my Dengan Selamat


Bagi yang belum tahu, Mudah.my adalah satu laman web popular di Malaysia yang berfungsi sebagai pengantara antara pembeli dan penjual yang menjual barangan baru dan terpakai.

Bagi yang inginkan lebih penjimatan, laman web ini sememangnya menjadi pilihan ramai untuk mencari barangan terpakai dengan harga yang murah selain memilih lokasi penjual yang berdekatan.

Jika penjual jauh dari lokasi pembeli, boleh saja gunakan khidmat penghantaran barang seperti Poslaju, Gdex, Skynet dan lain-lain lagi.

Namun untuk mengelakkan diri dari ditipu, terdapat beberapa tips yang boleh diamalkan semasa ingin membeli barangan dari laman web Mudah.my ini.

Tips ini admin dapat sepanjang beberapa tahun berkecimpung dalam dunia jual beli online di laman web tersebut. Berikut adalah 11 tips tersebut:

1. TAHU NILAI HARGA BARANGAN

Ada baiknya anda tahu dulu nilai sebenar harga barangan tersebut sebelum membeli. Barangan antik tak semestinya mahal. Dan barangan lama tak semestinya murah.

Harga barangan terpakai pula boleh bergantung kepada nilai semasa, fungsi, kondisi, pakej berserta kotak atau tidak dan mungkin usia penggunaannya.

Dan lebih baik juga jika anda tahu harga baru atau harga di kedai terlebih dahulu sebelum membeli di Mudah.my untuk mengelakkan penyesalan harga di kemudian hari.

2. SURVEY HABIS-HABISAN

Barangan yang anda cari mungkin banyak dijual oleh penjual-penjual lain. Ada baiknya survey sebaik mungkin dari segi harga dan kondisi barang agar barangan yang terbaik dapat menjadi milik anda dengan harga yang menjimatkan.

3. LAKUKAN CARIAN NOMBOR TELEFON PENJUAL

Jika sudah menjumpai barangan yang anda minat, kaji pula latar belakang penjual. Lakukan carian Google untuk nombor telefon, nama dan no akaun bank penjual. Jika hasil carian menunjukkan terdapat kes penipuan melibatkan penjual, lebih baik elakkan berurusan dengan penjual tersebut.

Jika penjual tersebut bersih dari hasil carian berunsur penipuan dan terdapat pula laman web, instagram, testimoni atau profil yang sah, maka bolehlah anda berurusan dengan penjual tersebut dengan yakinnya.

Sebaiknya hantar whatsapp kerana ianya percuma dan boleh menghantar dokumen seperti gambar untuk barangan dan resit.

Jika menghantar SMS, kemungkinan penjual tiada kredit untuk membalas SMS anda.

Panggilan telefon pula mungkin akan mengganggu kerja penjual jika beliau sedang bekerja atau sibuk kerana ada hal lain.

4. TANYA KONDISI BARANG

Sebelum membeli, pastikan tanya dulu kondisi barang. Kadang-kadang ada penjual yang tidak memberitahu sebarang kecacatan jika tidak ditanya.

Menjadi tanggungjawab kita untuk bertanya sehabisnya tentang kondisi barang tersebut. Tanya juga kenapa nak jual barangan tersebut.

5. MINTAK GAMBAR TERKINI BARANGAN TERSEBUT

Ada dua tujuan anda perlu meminta gambar terkini barangan tersebut:

Satu, untuk memastikan stok atau barangan tersebut ada untuk anda dan bukannya penipuan atas angin semata-mata.

Dua, untuk memastikan kondisi sebenar barangan tersebut. Untuk pengetahuan, gambar di laman Mudah.my tidak berapa jelas kerana saiznya yang agak kecil. Jadi, mintalah gambar terkini yang besar untuk anda lihat sendiri.

6. MINTAK KURANGKAN HARGA (JIKA PERLU)

Jangan lupa minta kurangkan harga dengan persetujuan kedua-dua belah pihak. Tapi janganlah minta kurang sampai tak masuk akal seperti 50% dari harga sebenar. Minta kurang RM5-20 pun dah cukup bergantung pada harga barangan.

Dan boleh juga minta penghantaran percuma (free postage) atas budi bicara penjual. Tambah-tambah jika membeli dengan kuantiti yang banyak.

7. TENTUKAN NAK COD ATAU POS

Setelah bersetuju dengan harga yang ditetapkan, mintalah nombor akaun penjual dan lakukan transaksi perbankan atas talian.

Jika boleh COD, sebolehnya segeralah berjumpa dengan penjual. Jika lambat nanti melepas ke tangan pembeli yang lain.

Apapun, pilihlah untuk COD kerana ianya lebih selamat. Anda boleh melihat sendiri kondisi barang serta untuk mengurangkan risiko penipuan jika membeli melalui pos.

Lagi satu kelebihan COD, ialah peratus anda rugi jika ditipu agak kurang jika bayaran masih belum bertukar tangan. Jika penjual tidak muncul kerana ingin menipu, sekurang-kurangnya bersyukurlah kerana wang masih ada dengan anda. Anda hanya rugi duit minyak.


8. AJAK JUMPA DI TEMPAT YANG SELAMAT

Jika anda wanita, sebolehnya pergi berjumpa dengan adanya teman. Jangan berseorangan.

Dan siapa-siapa pun baik penjual atau pembeli, perlulah berjumpa di kawasan yang selamat yang ada ramai orang dan lebih baik di tempat yang ada kamera CCTV.

Antara lokasi yang selamat ialah di:

  • stesen minyak
  • kedai makan / mamak
  • kawasan kedai atau pasaraya
  • kawasan laluan orang ramai

Penting juga untuk anda berjumpa pada waktu siang kerana pada waktu malam keadaan agak gelap untuk berjumpa dan mungkin pada masa itu kita pun sudah penat selepas balik dari bekerja selain risiko anda ditipu mungkin tinggi.

9. PERIKSA DAN ‘TEST’ BARANG

Semasa COD ini, boleh terlebih dahulu anda periksa atau test dahulu barangan tersebut sehingga puas hati. Jika okay, boleh teruskan dengan bayaran.

Sebolehnya janganlah minta dikurangkan lagi harga kerana persetujuan harga sudah pun dicapai sebelum berjumpa tadi. Ini untuk menjadi hati kedua-dua pihak dan mewujudkan ‘win-win situation’.


10. KIRA DUIT ANDA TERLEBIH DAHULU SEBELUM BERTUKAR TANGAN

Tips ini sangat penting. Jika anda tak tahu berapa wang dalam tangan anda, kemungkinan akan berlaku kekeliruan semasa wang bertukar tangan nanti. Selain mengelakkan wang tidak cukup, dapat juga mengelakkan kemungkinan salah kira wang oleh penjual mungkin tak cukup atau terlebih.

Oleh itu, kiralah dahulu wang anda sebelum ke tempat berjumpa. Dan kiralah sekali lagi dihadapan penjual sebelum wang bertukar tangan.


11. HUBUNGI PENJUAL JIKA BARANG ROSAK DALAM TEMPOH SEMINGGU DUA

Bawa pulang barangan tersebut dan terus guna seperti biasa. Jika terdapat masalah dalam seminggu dua, jangan segan untuk menghubungi penjual dan bincangkan penyelesaiannya. Minta tukar yang lain atau minta diberi balik wang yang anda berikan selepas anda memulangkan barangan tersebut.

Jika penjual berkeras tidak mahu melayan permintaan anda dengan barangan yang bermasalah tersebut, boleh buat aduan kepada persatuan pengguna yang berdekatan.


Diharap dengan tips-tips yang admin kongsikan hasil dari pengalaman admin berjual beli melalui laman Mudah.my sejak beberapa tahun ini, dapatlah membantu anda yang baru ingin berjinak-jinak untuk membeli barangan baru atau terpakai di laman tersebut.

Jika anda ada tips tambahan yang lain, bolehlah kongsikan dengan pembaca melalui ruangan komen di bawah.

Semoga bermanfaat!

Comments